13.2.11

VALENTINE

Valentine makin tiba, bermain persoalan di minda, hadiah buat si dia? Dimana hendak bertemu dengannya? Suasana romantik yang menghangatkan cinta?
Si gadis rasa terharu, makin bertambah kasih kepada si jejaka. Baju couple, gelang ikatan, tali handset, menunjukkan diri mereka sehati sejiwa.
Tiada wanita sehebatmu di dunia, mampu menggetarkan jiwa tatkala terpandang wajah, kekal cinta berkasih di hari Kekasih.
Dirimulah lelaki idaman wanita, setiap detik bersama memancarkan sinar bahagia, terima kasih wahai cinta.
Sweetnya, namun romantik itu hanya sia-sia, tanpa tujuan yang nyata.
Aisyah memasakkan makanan untuk Rasulullah, menyedari masakan Aisyah ada yang tidak kena, baginda tidak menyatakannya. Aisyah yang tertanya-tanya bagaimana masakannya, lantas disuapkan oleh baginda sendiri. Baru Aisyah mengerti, masakannya itu teuk!
Menegur itu pun romantik kan?
Kepala Aisyah sakit berdenyut-denyut, lantas diadukan kepada Rasulullah. “Bahkan kepalaku juga wahai Aisyah. Oh, kepalaku”, kata baginda.
Malam itu kepala mereka berdua berat, sakit yang teramat. Si suami tidak dapat membelai isterinya untuk mengurangkan kesakitan itu, si isteri turut tidak dapat memicit kepala suaminya untuk melegakan suaminya, kerana rasa itu sama.
“Janganlah engkau bersusah hati wahai Aisyah. Seandainya engkau mati sebelumku, nescaya aku akan menyempurnakan urusanmu. Aku akan mandikan dikau, kukafankan dirimu, dan akan ku dirikan solat buatmu serta engkau akan ku kebumikan”, gurau baginda menyakat Aisyah.
“Demi Allah, aku rasa kalau begitu kisahnya pasti selepas itu engkau akan pulang ke rumahku dan berpesta gembira dengan isteri-isterimu yang masih hidup!”, rajuk si isteri.
Baginda lantas ketawa.
Dalam sakit, masih ada kehangatan romantis antara baginda dan isterinya. Hakikat romantise yang sah, tiada larangan antara mereka.
Sambutan si jejaka dengan gadis, yang tiada ikatan menghalalkan serta tanpa tujuan, hanya episod duka dunia akhir zaman.
Sebelum bencana tiba, leburkanlah Valentine dalam minda.
“Alangkah teringinnya di hatiku andai aku berpeluang bertemu dengan saudara-saudaraku”, kata Rasulullah.
“Bukankah kami ini juga saudara-saudaramu wahai utusan Allah?” para sahabat tertanya-tanya.
Siapakah yang dimaksudkan oleh Rasulullah?
“Kalian adalah sahabatku. Adapun saudara-saudara yang ku maksudkan, mereka adalah orang-orang beriman yang belum ada”, jawab Rasulullah.
Cinta luar biasa, terhadap umat akhir zaman yang belum ditemuinya.
Sedalam manakah cinta kita kepadanya? Selawat ke atasnya, sambutlah Hari Kekasih kita sebenar, Maulud Nabi.
“Sesungguhnya Allah dan malaikatnya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkan salam sejahtera kepada penghormatan sepenuhnya (Al-Ahzaab : 56)”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.


thanks for reading ((: